Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal

Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal

Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal

Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal

Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal
Media Interview with BERITAmediacorp - Warees HalalWarees Halal

Media Interview with BERITAmediacorp

by | Sep 25, 2020

Teroka pengilangan dan pembangunan produk inovatif untuk manfaatkan pertumbuhan industri halal

 

SINGAPURA: Pertumbuhan industri halal terutama yang didorong oleh permintaan makanan halal, dijangka meningkat sekitar 6 peratus kepada AS$1.86 bilion (S$2.53 bilion) menjelang 2030, menawarkan potensi keuntungan yang amat lumayan bagi peniaga. Bagi memanfaatkan industri halal yang berkembang pesat ini, syarikat-syarikat Singapura digalakkan meneroka sektor pengilangan yang berpotensi untuk menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, pembangunan produk-produk serta khidmat yang inovatif harus diusahakan agar kekal berdaya saing.

Itulah antara saranan-saranan yang dibentangkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warees Halal Limited, Cik Dewi Hartaty Suratty, kepada para pengunjung acara Superfoods Asia semalam (25 Apr). Pameran dagangan sepanjang tiga hari itu diadakan di Pusat Konvensyen Marina Bay Sands dan menampilkan produk makanan sihat, halal dan semula jadi dari merata Asia.

Warees Halal Limited memainkan peranan penting dalam mempertingkatkan kewibawaan pensijilan halal MUIS. Ini dilakukan menerusi audit pensijilan dan pemeriksaan tidak diumumkan dari masa ke masa. Sebagai CEO Warees, Cik Dewi turut mengongsi beberapa trend utama dalam industri halal. Antaranya, perubahan pada tindak-tanduk para pengguna Muslim masa kini yang tidak sekadar melihat kepada kehalalan sesuatu produk sahaja.

“Salah satu trend yang kita lihat adalah meningkatnya permintaan untuk produk yang diproses secara beretika dan mampan. Selain itu juga, kita lihat meningkatnya permintaan untuk produk yang inovatif dari segi jenama, bungkusan dan teknologi pemprosesan,” kongsi beliau.

 

Cik Dewi Hartaty Suratty, CEO Warees Halal Limited, mengongsi tentang trend-trend utama industri makanan halal (Gambar: BERITAmediacorp)

 

PENIAGA BUKAN MUSLIM JUGA AKUI KEPENTINGAN SIJIL HALAL

Dari sekitar 90 syarikat produk makanan dan minuman berkhasiat tinggi yang diketengahkan di Superfoods Asia, 25 merupakan syarikat produk halal. Namun, majoritinya dimiliki peniaga yang bukan Islam. Ternyata, mereka juga tertarik pada potensi pasaran halal.

Menurut Encik Ramesh Krish Kumar, rakan Pengasas & Pengarah Urusan ASMARA, sebuah syarikat tempatan, kebanyakan pelanggannya adalah golongan Melayu/Islam. Beliau turut mengongsi bahawa ramai pengunjung dari Malaysia, Indonesia dan Timur Tengah telah menunjukkan minat terhadap minuman semula jadi dan berkhasiat yang dipamerkannya.

“Kami di rantau ini terlalu bergantung kepada Korea Selatan dan Amerika Syarikat untuk produk-produk kesihatan dan selalunya, produk-produk tersebut tidak bersijil halal. Dengan adanya sijil halal bagi produk-produk ASMARA, memudahkan proses mengeksport minuman-minuman kami ke negara-negara majoriti Muslim,” tambah Encik Ramesh yang juga seorang saintis makanan.

“Ini menjadikan produk jenama Singapura lebih menonjol lagi di pentas dunia dan membantu mengembangkan lagi pasaran halal”.

Eksekutif Pembangunan Perniagaan Foodedge Gourmet Ptd Ltd, Cik Bandana Kaur, pula merancang untuk memperkenalkan produk makanan halal beliau ke pasaran seperti Vietnam dan China.

“Sebenarnya, sejak setahun kebelakangan ini, kami menerima banyak pertanyaan tentang produk halal dan jenis-jenis produk yang boleh dibawa ke pasar serbaneka kerana mereka kini menerima lebih ramai pelancong dan juga lebih banyak permintaan untuk produk halal,” kata Cik Bandana yang mengakui kelebihan memiliki pensijilan halal.

 

Original interview was published on 26 Apr 2019 at https://berita.mediacorp.sg/mobilem/kewangan/teroka-pengilangan-dan-pembangunan-produk-inovatif-untuk/4271988.html.